BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Click here for Myspace Layouts

Saturday, July 13, 2013

Iftar di Istana Iskandariah.

PETANG tadi sewaktu keluar dari rumah dan sesampai sahaja di persimpanganlampu isyarat TBR, ada tiga orang anggota polis trafik sedang berkawal. Jam menunjukkan pukul 6.10. Ada apa ya? Selepas memerhatikan keadaan, saya dapat mengagak bahawa kawalan trafik itu adalah untuk melancarkan keberangkatan DYMM Pemangku Sultan ke Istana Iskandariah dalam sedikit masa lagi. Dalam bulan Ramadan begini, adalah lazim bagi Pemangku Sultan berangkat ke istana di Bukit Chandan bagi menghadiri majlis berbuka puasa dengan kumpulan sasar tertentu yang telah ditetapkan lebih awal. Semasa saya masih berkhidmat sebagai Pengurus Cawangan Pos Malaysia Kuala Kangsar dahulu (kini saya telah bersara mulai 25.06.2013); saya juga adalah diantara jemputan untuk majlis berbuka puasa dengan Tuanku Pemangku Sultan di Istana Iskandariah. Lazimnya, seminggu sebelum majlis berlangsung; saya akan menerima warkah jemputan daripada Dato' Pengelola Bijaya di Pejabat Paduka Sri Sultan Perak. Bukanlah saya seorang sahaja yang diundang, tetapi kesemua Ketua-Ketua Jabatan dari seluruh negeri. Kebiasaannya majlis tersebut dibuat secara berkelompok iaitu dengan mensekalikan undangan dan kehadiran Orang-Orang Besar Istana, Wakil-Wakil Rakyat, Hakim-Hakim Mahkamah dan tokoh-tokoh masyarakat yang kebanyakannya terdiri daripada mereka yang pernah dianugerahi darjah kebesaran yang membawa gelaran Dato'. Dalam suasana yang begitu protokol ini, saya sebenarnya hanyalah 'seekor semut merah' dikalangan big-guns ini. Malah kalau nak sebaris dengan Ketua-Ketua Jabatan pun, aduhai kecilnya saya. Ketua Jabatan yang lain mungkin merupakan Pengarah Kerja Raya Negeri atau Pengurus Negeri Tenaga Nasional atau Pendaftar Mahkamah Tinggi atau Timbalan Ketua Polis Negeri atau setidaknya Pegawai Daerah; tetapi saya hanyalah seorang PM atau pun Postmaster di Pejabat Pos Kuala Kangsar. Namun saya apakala berada di Istana, saya tidak boleh merasakan diri saya kecil tetapi saya sewajarnya berani untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan Ketua-Ketua Jabatan ini. Satu kemujuran bagi saya; tidak ada pegawai kanan Pos Malaysia yang lain diundang dalam majlis ini; sayalah pegawai terkanan Pos Malaysia yang ada dalam Istana pada ketika ini. Semasa tahun pertama ataupun kali pertama menghadiri undangan ini; terasa juga gabra untuk berada di dalam suasana yang penuh protokol ini. Selain sedikit rasa rendah diri, keresahan tentang dimana dan dengan siapa saya nak duduk semasa berada di Balai Santapan nanti. Memang ada Ketua Jabatan terutama yang berkhidmat sekitar Kuala Kangsar yang saya kenali, tetapi apabila berada didalam Balai Santapan itu terdapat ratusan orang dan sudah tentulah timbul kesukaran untuk mencari mereka. Saya anggap saya amat bernasib baik di atas penglibatan aktif saya dalam UMNO. Bila saya masuk sahaja dalam Balai Santapan, ternampak ramai kawan-kawan yang sudah pun bergelar Yang Berhormat, dan mereka pula apakala ternampak saya yang seperti tercari-cari tempat duduk yang sesuai; telah memanggil saya untuk duduk dalam kelompok mereka. Sesungguhnya bukan seorang berdua rakan seperjuangan yang telah menjadi ADUN. ADUN Kenering, ADUN Kota Tampan, ADUN Manong, ADUN Sungai Manik, ADUN Lintang, ADUN Pengkalan Bharu, ADUN Behrang, ADUN Batu Kurau dan beberapa orang lagi adalah rakan seperjuangan sejak era Pemuda dahulu. Selamat, saya sudah tidak mengalami apa-apa rasa gementar atau berasa akan keseorangan didalam majlis yang hebat itu. Agaknya inilah faktor yang menyebabkan hampir kesemua Pengurus Cawangan Kuala Kangsar sebelum saya telah mengambil ketetapan untuk 'ponteng' dari menghadiri jemputan ke Istana ini. Mereka mungkin ketiadaan rakan untuk pergi bersama, duduk bersama dan balik bersama dari program yang tutut dihadiri oleh Sultan. Untuk menghadiri majlis seumpama ini, setiap jemputan diwajibkan memakai baju kebangsaan yang lengkap. Berikutan program berkala sebegini, kelengkapan baju kebangsaan sewajarnya kena ada beberapa pasang. Walaupun Sultan mungkin tidak meneliti penampilan kita; tetapi sebagai warga beradab sewajarnya kita membuat persediaan serapi mungkin sebelum menghadap Tuanku. Dalam majlis berbuka puasa begini, lazimnya selepas selesai majlis berbuka; Sultan memperkenankan setiap hadirin utnuk menghadap dan bersalam dengan Baginda, Raja Muda, Raja Di Hilir, Raja-Raja Bergelar, Menteri Besar serta Anggota Exco Kerajaan. Seorang jurugambar yang sering mengambil foto bagi apa-apa upacara rasmi di Istana, yang juga merupakan pemilik Kedai Gambar Photo Saloon di Kuala Kangsar iaitu En. Goh adalah kenalan saya. Beliau berasal dari Kampung Chui Chak, Langkap. Bila sahaja beliau ternampak saya, dia segera memberi isyarat bahawa tatkala saya menghadap Sultan dan bersalaman; beliau akan snap gambar saya dari sudut yang menarik. Maka dapatlah saya bergambar cantik dengan Sultan. Selain majlis berbuka puasa, semua hadirin juga diminta untuk bersama-sama dengan Tuanku mendirikan solat maghrib, isya' dan solat tarawih. Solat lazimnya akan diadakan di tingkat dua istana, iaitu dibalai penghadapan yang diubah konsepnya menjadi musolla. Semasa santapan selepas berbuka berakhir; pengacara majlis membuat pengumuman meminta setiap hadirin supaya bersama-sama solat isya' dan tarawih. Beliau juga memaklumkan bahawa pintu pagar utama telah dikunci dan tiada sesiapa dibenarkan keluar kecuali jemputan bukan beragama Islam. Ada juga terdengar keluhan kecil dari kalangan hadirin yang mungkin ada agenda lain yang sudah dirancang untuk ke mana-mana selepas berbuka puasa dan dengan pengumuman itu rosaklah program mereka. Sesungguhnya berbuka puasa dengan Tuanku di Balai Santapan, Istana Iskandariah serta berpeluang bersolat jemaah secara ekslusif dengan payung negeri ini adalah satu pengalaman yang amat berharga. Daulat Tuanku! Menjunjung Kasih, Tuanku.

Sunday, February 19, 2012

UMNO Parti Tunjang Kerajaan.

BILA agaknya Pilihanraya Umum ke 13 nak diumumkan oleh Perdana Menteri. Jika dilihat pada tiupan angin pilihanraya yang kian kencang derunya bertiup pada masa ini; kita semua dapat merasakan bahawa PRU13 itu bagaikan akan datang dalam sebulan dua ini. Pihak parti pembangkang seperti Pas, PKR dan DAP kian rancak mengatur siri ceramah mereka. Begitu juga UMNO dan BN turut rancak membuat sessi penerangan kepada rakyat atau pengundi keseluruhannya.

UMNO kena terus menang dan menang dengan majoriti besar. Apakala UMNO menang besar, maka BN juga akan menang lebih besar dengan sokongan yang diperolehi oleh lain-lain parti komponen. Kita tidak rela dan tidak redho sama sekali negara ini diperintah oleh parti lain selain BN. Nak marah, marahlah sebab ini adalah pendirian saya selaku penyokong tegar UMNO.

Orang Melayu jangan membuat banyak alasan untuk tidak memberikan undi kepada BN dalam PRU13 nanti. Cukup cukuplah segala kenakalan yang telah dipamer dan dilaksanakan semasa PRU 12 pada tahun 2008 dahulu. Kita tahu ramai orang UMNO sendiri tidak memberikan undi mereka kepada calun BN yang bertanding sebaliknya mengurniakan undi itui kepada calun parti lawan ataupun dengan drastik melaksanakan proses merosakkan kertas undi; dengan niat kedua-dua parti yang bertanding tidak memperolehi apa-apa undi darinya.

Hasilnya BN tewas. Di negeri-negeri seperti Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; BN ditewaskan. Pembangkang menguasi negeri-negeri ini dan berjaya membentuk Kerajaan. Kesilapan atau pun sikap buruk sebilangan besar orang Melayu telah menjahanamkan survival politik Melayu dan menangislah biar keluar air mata darah sekali pun; negeri terlepas tidak mungkin dapat diambil semula dengan semudahnya; kecuali di Perak.

Selama 11 bulan, Pakatan Rakyat menguasai Perak dan mereka benar-benar dilihat sebagai sebuah Kerajaan yang menganaktirikan orang-orang Melayu, khususnya orang UMNO. Kerajaan Negeri PR memang jenis Pakai Rembat. Mesyuarat Exco telah meluluskan pemberian pajakan tanah negeri sehingga selama 999 tahun. Golongan pertama yang beroleh hak milik pajakan selama seabad ini ialah dari kalangan bukan Melayu.

Walaupun Menteri Besar Perak adalah orang Melayu, beliau sebenarnya tidak mempunyai apa-apa kuasa malah suara dalam mendepani majoriti ahli majlis mesyuarat kerajaan yang majoritinya terdiri daripada pemimpin DAP Negeri. Malah lebih malang, pimpinan DAP Pusat juga ikut mencampuri urusan pentadbiran negeri.

Hari-hari penuh kesengsaraan itu sudah berlalu. Cerita Perak dibawah pentadbiran PR sudah dilipat kemas dalam sejarah. Jangan ada sesiapa yang mahu membuka kembali lipatan ini. Kita kena pastikan bahawa BN dan UMNO sebagai abang long terus utuh memerintah negeri Perak Amanjaya ini.

Konvensyen UMNO Negeri Perak 2012 yang berlangsung hari ini di Dewan Jubli Perak Kuala Kaangsar, adalah platfom utama untuk kita bergerak dengan selancarnya ke medan juang dalam mempertahankan bumi Perak ini terus kukuh dalam genggaman BN. Kita akan berada dalam satu barisan yang kuat, tersusun, teguh dan sederap dalam mempastikan hala tuju untuk mengekalkan negeri Perak dibawah kekuasaan BN dan UMNO. Kita telah bertekad dengan lafaz yang sama iaitu untuk bersatu mencipta kemenangan. UMNO Perak tidak akan berpecah-belah tetapi akan kental bersatu-padu menghadapi musuh. Semua orang UMNO akan mempastikan bahawa negeri Perak sejak dari DAHULU, KINI dan SELAMA-LAMANYA adalah negeri yang dikuasi oleh UMNO sebagai Kerajaan.

Hidup UMNO, Hidup UMNO, Hidup UMNO Segarbugarlah BN.

Wednesday, December 14, 2011

Cawi; di mana kamu?

APAKALA sahabat saya, Muhamad Noor seorang guru yang mempunyai minat yang tinggi terhadap seni fotografi dan sering memuat-naik gambar foto yang berseni dalam laman facebooknya; saya begitu teruja menghayati foto-foto berkenaan. Mutakhir ini, Muhamad Noor telah memuat-naik foto-foto burung dan menjodolkan foto-foto berkenaan sebagai 'Memelihara Burung Dalam PC". Saya amat tertarik dengan shot gambar burung yang di tampilkan. Telah ada gambar burung belibis, burung pekaka dan beberapa jenis lagi yang saya sendiri sudah terlupa untuk disenarai-panjangkan.

Menatap ganbar burung-burung ini; nostalgia saya terhantar kembali ke zaman kanak-kanak dahulu, dimana pada waktu itu saya juga berminat dengan burung. Berminat melihat burung dan suka juga bernakal-nakal melastik burung. Namun seingatan saya; saya bukanlah seorang handalan dalam melastik burung. Cuma pernah menjatuhkan seekor burung merbah dan apakala merbah itu gagal diselamatkan nyawanya; saya sudah tak berupaya lagi untuk meneruskan kegiatan melastik burung ini.

Di kampung, memang banyak burung berterbangan dan hinggap dengan penuh kebebasan. Pohon-pohon yang banyak tumbuh dalam kampung menjadi tempat burung-burung hinggap, berterbangan, membiak dan membuat sarang. Seorang sahabat bernama Sidi, amat suka menjejaki sarang burung di mana dia akan mengambil anak burung yang sudah tumbuh bulu pelepah; untuk dibela pula didalam sangkar. Burung seperti merbah dan gembala kerbau sering menjadi pilihannya untuk dipelihara.

Ada berbagai jenis burung di kampung. Merbah, gembala kerbau, tekukur, merbuk, pipit, ciak, pipit uban, cikniap, cawi, belatuk, pekaka, serindit, helang, jampuk, pungguk, burung hantu, ketuk ketampi, burung tukang, kelicap, bangau, ruak-ruak, ayam-ayam, murai dan banyak lagi memang mudah ditemui, baik pada waktu siang mahu pun malam. Pada waktu pagi suara burung-burung yang berbagai ini kedengaran berdecip-decip atau berkicauan memberikan indentiti tersendiri bagi kawasan kampung yang tenang damai.

Kalau pergi ke kawasan bendang di hujung kampung, kita pasti akan dapat melihat sarang burung tempua bergayutan di hujung pelepah pohon nyior yang condong ke arah bendang. Burung tempua itu boleh dilihat dengan jumlah yang banyak, ada yang berbuai-buai dalam sarang yang khusus dibina sebagai buaian. Oh, kreatifnya burung ini.

Baru-baru ini saya sempat menonton rancangan Panorama di TV1, yang memaparkan kisah seorang petani yang menjadikan kerja mengambil sarang burung tempua yang telah ditinggalkan bagi dijual kepada sesiapa yang berminat untuk menjadikan sarang burung itu sebagai hiasan. Tahu berapa harga yang dijualnya? Antara RM20 hingga RM40 sebuah. Kan moncah tu; tempua punya kreativiti, dia boleh buat duit.

Apakala menyebut burung-burung ini, saya teringat akan burung cawi. Terlalu lama rasanya saya sudah tidak melihat burung cawi. Dahulu dalam tahun 70an atau lewat 80an, burung cawi boleh dikatakan banyak bilangannya berterbangan berpasangan dalam kampung. Burung dengan bulunya berwarna hitam ini akan berbunyi nyaring sambil mencari ulat-ulat sebagai makanannya didahan-dahan pokok. Burung cawi mempunyai ekor yang menarik; iaitu berjuraian panjang. Kini sudah terlalu lama tidak melihat burung ini; apakah burung yang cantik ini sudah pupus? Harapnya tidak. Mungkin burung ini sudah tidak lagi kelihatan di kampung saya, tetapi harapnya ia masih banyak di tempat lain di negara ini.

Sunday, December 11, 2011

HENFON NAN SEBUTIR

NASIB BADAAANNN. Ini satu dailog yang agak melekat di hati daripada seniman ulung AY TS P. Ramlee. Ia mungkin satu keluhan kosong berakibat dari sesuatu insiden semasa yang menimpa diri. Apa lagi yang nak dikata; kerana sudah sedemikian suratanNya.

Hari Ahad minggu sudah (4hb Disember) teman telah kehilangan henfon, yang teman telah gunakan mungkin sekitar hampir setahun. Bukanlah telefon jenama termahal cuma dari jenis sedang-sedang aja dan henfon ini kiranya merupakan satu gadget yang penting dalam kehidupan seharian. Senang untuk menghubungi kawan-kawan dan begitulah sebaliknya. Kiranya rasa kasih terhadap henfon itu amat kuatlah sebab banyak informasi telah di input ke dalamnya, dan ia amat membantu. Ianya adalah realiti bagi kenyataan 'maklumat dihujung jari' yang selalu disebut-sebutkan itu.

Hari Ahad 4hb Disember itu, pada waktu tengahari teman sekeluarga telah pergi memenuhi undangan kenduri seorang sahabat di Kubang Halban. Memang menyeronokkanlah menghadiri majlis perkahwinan anak sahabat ini, kami dilayan baik oleh tuan rumah yang kebetulan merupakan seorang kakitangan sejabatan dengan isteri teman. Tidak lengkap dengan disajikan makanan, kami juga turut dibekalkan lagi dengan juadah serta lauk-pauk untuk dibawa pulang.

Sesampai di rumah; teman bergegas masuk. Nak ke bilik air; sebab rasa nak terkencing mungkin disebabkan telah meminum air agak banyak semasa di rumah orang kenduri tadi. Selesai urusan di bilik air, terus duduk-duduk di ruang depan dibawah kipas angin berkelajuan skala 4. Hembusan angin yang menghilangkan rasa kepanasan akibat sepanjang perjalanan di bawah terik mentari petang; telah mempelawa mata untuk meruyup. Mungkin penangan nasi minyak yang disantap tadi menjadi pemangkin kepada rasa mengantuk.

Orang mengantuk disorongkan bantal. Terlelaplah jawabnya. Baik punya tidur pada petang Ahad begini.

Hanya sekitar pukul enam sesudah siap mandi dan sebagainya, anak-anak heboh untuk balik ke Padang Rengas. Sewaktu menekan butang penggera kereta, didapati sistem penguncian kereta tidak berfungsi. Eh, kenapa ya? Amalina diarah untuk melihat secara dekat apayang telah berlaku. Dia mendapati pintu kereta di bahagian pemandu dalam keadaan renggang; yakni telah dibuka tetapi tidak ditutup dengan sempurna.

"Pintu tak tutup! Siapa yang bukak??", Amalina menyoal kembali, sambil menutup pintu kereta.

Teman tekan lagi kekunci alat penggera dengan maksud untuk mengunci pintu itu tetapi sistem kuncian masih tidak berfungsi sebagaimana lazim. Apa dah jadi? Amalina meneliti keadaan selanjutnya dan mendapati pintu sebelah kiri hadapan juga renggang; seperti mana pintu kanan tadi.

"Pintu ini pun tak tutup, ayah".

Teman menuju ke kereta dan terus kepada pintu sebelah kiri. Sahih, pintu itu renggang atau pun telah dibuka tetapi gagal ditutup kembali dengan sempurna. Teman lihat laci pada dash board di sebelah kiri dalam keadaan terbuka. Siapa buka ini? Amalina hanya menggeleng-gelengkan kepada tanda dia tidak mengetahuinya.

Perjalanan untuk ke Padang Rengas diteruskan, tetapi semasa hendak mengundurkan kereta; teman teringatkan henfon. Kereta diparkir semula dan teman masuk ke dalam rumah untuk mencari henfon. Tiada henfon di dalam rumah. Tiba-tiba teman teringat, sahih henfon itu diletakkan pada satu ruang di bawah stereng kereta dan dengan pantas teman datang semula ke kereta. Tinggal bekas; itulah realitinya. Kompom (confirmed) henfon itulah yang menjadi penyebab mengapa kedua-dua pintu kereta berada dalam keadaan tidak ditutup rapat.

Hilanglah gadget yang amat penting. Hilang segala maklumat. Nombor telefon rakan dan sahabat, jabatan dan firma, menteri dan ketua jabatan ghaib bersama henfon itu. Mengapa dikenang, mengapa difikir....asal kapas jadi benang, dari benang menjadi kain; benda dah terlepas usah dikenang, pergi ke kedai belilah yang lain.

Ini musim cuti sekolah. Mungkin ada budak-budak nakal yang tiada apa-apa kegiatan semasa cuti, telah melilau dan bermain-main sekitar tempat parkir kereta dan ternampak akan henfon yang dibiarkan dalam kereta yang tidak berkunci. Rezeki dialah tu.

Selasa 6hb Disember, teman dengan penuh rampus telah membeli baru sebutir lagi henfon. Jauh lebih murah dari henfon yang telah hilang itu. Ianya hampir menyerupai spesifikasi yang dimiliki oleh henfon yang ghaib itu; tetapi realitinya banyak yang kureng, Takpe lah, asalkan boleh memudahkan urusan panggil-memanggil kengkawan dan mengutus mesej; kira okay. Teman sukakan kameranya sebab 5 mp. Cantik gambar yang dihasilkan dan lebih cantik bila diup-load dalam pc. Merah warnanya.

Selesailah sudah masalah ketiadaan telefon. Kehidupan kembali normal.

Ahad 11 Disember. HENFON AKU HILANG BALIKKKKKKKKKKKKKKK. Memang pelik, memang misteri. Hilang dalam rumah. Siapa yang ambil. Siapa yang sorok. Salah letak? Ah, tak tahulah. Sewaktu teman menaip ni; teman memang dalam keadaan lebang-libu. Telefon baru itu, yang dah hilang itu; masih banyak ruangnya yang belum teman terokai. Belum habis lagu-lagu yang teman load-in didengari. Memang menghampakan.

Nasiiibbb badaaaannnnn.

Friday, September 2, 2011

Hari Reunion Class of 1975 SMT Kati Kali 1




KHAMIS, 1hb September 2011 adalah satu tarikh yang amat bererti kepada sekumpulan para lepasan Sekolah Menengah Temenggong, Kati, Kuala Kangsar; kerana pada tarikh keramat ini telah diadakan Majlis Perhimpunan Semula atau reunion. Reunion yang secara khususnya melibatkan para pelajar lepasan tahun 1975 telah diadakan di Tasek Raban Resort, Lenggong.

Usaha untuk merealisasikan program yang julung kali diadakan ini datangnya daripada hasrat dan keinginan Sdr Khairi Kamil, yang kini berkhidmat sebagai Ketua Trafik Daerah Kubang Pasu; yang mahukan supaya kesemua geng sebayanya dapat berhimpun kembali sesudah 36 tahun terpisah. Idea dan hasrat ini dilontarnya melalui sessi perbualan online dalam media Facebook kira-kira lima atau enam bulan dahulu. Kata berjawab, gayung bersambut bak kata orang; rakan-rakan yang punya akaun Facebook mulalah memberikan respons yang memberangsangkan. Mereka kesemuanya juga mempunyai hasrat dan keinginan yang sama untuk bertemu, bersua muka dan bertanya khabar berita kawan-kawan sesudah sekian lama terpisah sebaik sahaja meninggalkan alam persekolahan pada penghujung tahun 1975 dahulu.



Disini kami berhimpun membugarkan kembali nostalgia masa lalu, sesungguhnya perhimpunan semula ini menimbulkan kenangan yang amat membekas di dalam hati setiap daripada kami.


Saya sendiri turut terlibat dalam chatting dalam Facebook itu, biarpun saya datang dari generasi 1974. Walaupun saya senior setahun awal dari mereka, tetapi hampir setiap wajah para lepasan 1975 ini dikenali dan biasa menjadi rakan sepermainan. Ini yang mungkin menjadi faktor membolehkan saya juga mudah ikut serta dalam usaha menggerakkan reunion ini. Antara rakan terawal yang kerap berbualan secara online ialah Bear, Azelan Md Noh, Yong Rabaayah Puteh Ishak, Yusof Ghani, Ahmad Roslan, Othman Ramli, Marizan Johan, Thalasiah dan beberapa nama lagi.

Macam-macam yang diperbualkan, beraneka nostalgia kembali diangkat untuk sama-sama dikenang. Gambar-gambar pada era remaja semasa dalam Tingkatan 3, 4 dan 5 dimuat-naik dalam Facebook dan masing-masing terhantar kembali ke alam era masih bersekolah tiga puluh tahun lebih dahulu. Pada waktu inilah berita pilu bahawa ada antara rakan-rakan sebaya yang telah pergi dahulu menyahut panggilan Illahi, disebar-luaskan. Maka, kita yang masih punya usia pada waktu ini; memanjatkan doa dan mensedekahkan Al Fatihah buat rakan yang telah kembali.

Perancangan untuk menjayakan reunion tetap diterus-usahakan. Khairi kita percaya mengatur strategi dari jauh dan saling bertele-conference dengan beberapa sahabat berkaitan komitmen untuk menjayakan juga reunion yang ulung dan sulung ini. Beliau sendiri yang akan contact by personal dengan setiap rakan sekelas atau sebaya dan menceritakan proposal penganjoran reunion ini.

Sehari sebelum bermula bulan puasa Ramadhan, dengan gerak kerja yang turut diatur sama oleh Sdr Bear; satu program ngeteh telah diadakan di Kuala Kangsar. Pada program ini beberapa orang warga emas SMT telah dapat berhimpun, bersembang-sembang santai sambil fokus untuk melaksanakan juga acara reunion yang bakal diadakan pada Hari Raya Ketiga. Antara yang hadir pada malam ngeteh ini ialah Khairi Kamil, Yusof Ghani, Azelan Md Noh, Khairul Aman, Isa Jidin, Othman Ramli, Kamarulzaman serta isterinya Mahani, Rabaayah Puteh Ishak, Bear, Amran Ahmad Mokhtar, Ahmad Lan Tajuddin dan saya. Perjumpaan 'mini' ini sudah cukup mengujakan; ah betapa hebatnya jika reunion nanti ianya akan menjadi lebih hebat dan prima!!
Ramadhan terus dititi dengan pengisian ibadat berpuasa, bertarawih dan bertadarus sepanjang 30 hari dan malamnya. Kemudian muncul Syawal bersama sambuatan Hari Raya Aidil Fitri; simbol kemenangan dan kejayaan merentasi Ramadhan yang getir. Kemunculan Aidil Fitri disambut meriah dan setiap daripada kita menghitung hari untuk mengggamit rasa teruja yang amat sangat tatkala dapat bersama-sama berhimpun dalam program reunion di Tasek Raban Resort nanti.

Bersama rakan sebaya, Haji Zaini bin Haji Harun, Pegawai di Bahagian Keselamatan JPM yang telah 37 tahun terpisah dimana kami bersua kembali pada reunion ini.

Pada malam 31 hb Ogos, kami berhimpun dahulu di Dewan Persidangan Tasek Raban Resort; iaitu Khairi Kamil, Isa Jidin, Yusof Ghani, Bear dan Idris Ramli serta saya sendiri bagi membincangkan final touching program akan akan berlangsung esoknya. Pada dasarnya, everything is finalise dan program boleh on tepat pada masa dan ketikanya. Khairi memberikan taklimat akhir; bagaimana rupa bentuk tantatif program serta apa fungsian setiap peserta dalam program yang telah diatur ini.

Hari 1hb September. Saya sendiri sampai jam 11.10 pagi dan di lobi Tasek Raban Resort kelihatan telah ramai kengkawan yang telah sampai. Ternampak kemeriahan yang ketara di situ. Saya salingan berpegangan tangan dengan An ketika sampai dalam kumpulan kawan-kawan yang kelihatan merenung dan hati tertanya-tanya. Selepas 36 tahun, segalanya berubah. Paras rupa, susuk badan, penampilan berubah baik samada dalam skala 25%, 50% atau ada yang sehingga 110%. Kita dalam mendakap kawan-kawan, mahu tidak mahu terpaksa bertanya; siapa ni? Jangan ada sesiapa berasa terkilan jika pada 36 tahun yang lampau, dianya adalah rakan kamcing kita, tetapi hari ini akibat dari perubahan fizikal yang sedemikian ketara, kita menjadi tidak kenal atau mengecamnya lagi secara spontan. Lalu bila sahabat itu sendiri memperkenalkan dirinya atau ada rakan lain yang membantu memperkenalkannya; kita akan sama-sama berderaian ketawa, saling mentertawakan akan arus perubahan yang berlaku.




Sekitar 30 orang rakan sebaya dari satu generasi 1958 telah berhimpun. Memulakan acara majlis ialah bacaan tahlil dan doa yang dipimpin oleh Sdra Hasim Shariff; bagi mendoakan kesejahteraan setiap yang hadir serta mohon limpah rahmat ke atas roh-roh para rakan sebaya yang telah kembali ke Rahmatullah lebih dahulu serta juga roh-roh para guru yang pernah menumpahkan bakti mengajar kita semua semasa di SMT dahulu.

Sdra Khairi Kamil kemudiannya memberikan ucapan alu-aluan mengalu-alukan kehadiran sahabat-sahabat berserta keluarga dalam majlis ini. Beliau amat menghargai kesediaan rakan-rakan untuk ikut serta dalam program perhimpunan semula ini, dan menyatakan rasa gembiranya kerana dapat menatap kembali wajah-wajah rakan-rakan yang ditinggalkan bersama jejak-jejak zaman persekolahan dahulu. Beliau berharap, perjumpaan seumpama ini bukanlah perjumpaan pertama dan terakhir; tetapi sewajarnya menjadi platfom kepada penganjoran satu lagi majlis yang lebih besar dan meriah pada masa akan datang.

Saya kemudiannya mengisi slot berikutnya, dengan menyampaikan sebanyak 25 rangkap pantun, syair, gurindam yang berkaitan dengan perhimpunan semula ini.

Majlis diteruskan dengan acara suai-kenal atau memperkenalkan semula diri sendiri kepada kawan-kawan. Semua peserta diberi peluang untuk bercakap memperkenalkan diri, memperkenalkan isteri atau suami, dan anak-anak. Mereka juga menceritakan sedikit sebanyak tentang ke mana mereka merantau membina kehidupan baru selepas alam persekolahan.

Majlis suai kenal ini berakhir hingga jam 2.30 petang dan selepas itu majlis berehat untuk jamuan makan dan solat zuhur.

Program disambung semula dengan acara santai cabutan nombor bertuah, di mana suami atau isteri kepada peserta telah dipelawa untuk mencabut nombor bertuah sebanyak 14 cabutan.

Majlis diakhiri dengan sessi bergambar secara berkumpulan. Gambar-gambar dalam seluruh sessi reunion ini telah diambil oleh Sdr Mohammad Noor; rakan sekelas yang bertugas sebagai guru dan mempunyai kemahiran yang baik dalam seni fotografi.

Sesungguhnya program reunion ini amatlah memberi makna yang amat besar kepada pengukuhan persahabatan bagi satu generasi yang telah terpisah lama. Semoga akan ada lagi reunion kali kedua pada masa depan. Kita mendoakan agar kita semua dapat berhimpun sekali lagi. Semoga usia kita dipanjangkan Allah dan kita dapat memperkukuhkan silaturrahim ini dengan lebih perkasa lagi.

Sunday, August 7, 2011

Antara Langkap dan Kuala Kangsar

Marhaban Ya Ramadhan. Hari ini sudah tujuh hari berpuasa. Seronok sangat menghayati Ramadhan. Selepas tujuh kali Ramadhan berada di perantauan, iaitu di Langkap akhirnya pada Ramadhan tahun ini aku kembali berada di tengah keluarga. Inilah nikmat yang paling mensyahdukan kepada seorang aku yang usia sudah memanjat 54. Bayangkan betapa derita dan sengsaranya seorang lelaki warga emas berada jauh dari keluarga menghadapi ujian Ramadhan yang getir pada sepanjang 6 tahun berada diperantauan. Sukarnya mengejar waktu membuat persiapan berbuka; dan lebih sukar lagi untuk menikmati sahur yang santai.

Selepas beberapa 'kejayaan' kecil diangkat semasa berkhidmat sebagai Pengurus Cawangan di Padang Rengas; bulan Mei 2005 sepucuk surat tawaran kenaikan pangkat dari Kerani Tingkatan Biasa C3 kepada Kerani Kanan C4 telah dihulurkan kepadaku. Anda ditawarkan kenaikan pangkat sebagai Kerani Kanan dan diminta untuk mengambil alih tugas selaku Pengurus Cawangan Langkap. Mak ai, jauhnya! Itu komen pertama yang terpacul dari mulutku.

Namun sebagai kakitangan yang mesti mematuhi arahan; Padang Rengas kena ditinggalkan sementara Langkap pula menunggu untuk menggalas tanggung jawab baru. Padang Rengas, pekan kecil yang terletak di sebelah utara Kuala Kangsar dimana aku telah berkhidmat di Pejabat Pos pekan kecil ini sebagai Pengurus Cawangan; diucapkan selamat tinggal. Tinggallah pohon mempelam yang mempunyai buah berkualiti, tinggallah hiruk-pikuk, tinggallah segala debu dan habuk dari Kilang Simen Perak Hanjoong masa itu (Kini YTL Cement).

Di Langkap, aku hanya pergi berseorangan. Isteri dan anak-anak masih menetap di Taman Bunga Raya, di mana anak-anak masih bersekolah di SMK Tun Perak serta SK Perempuan. Aku jadi OBJ di Langkap. Orang Besar Jajahan? No lah; Orang Bininya Jauh. Menyewa di sebuah rumah teres di Taman Pelangi, Langkap. Oh, rumah yang betul-betul berstatus rumah bujang; appa pun takdak! Malam hanyalah bertemankan TV 14"; dan terbatas untuk menonton siaran TV1, TV2 dan TV3 sahaja.,

Makan siang malam pagi petang ke kedai, warung atau restoran. Kos sara hidup tinggi. Bila jiwa meronta nak balik ke Kuale; tak peduli apa lagi, mesti balik. Siapkan kerja cepat-cepat dan bergegas ke perhentian bas menunggu bas Hup Soon untuk ke Kampar. Dari Kampar pula menaiki bas Kinta ke Ipoh. Di Ipoh An menunggu penuh setia, biarpun dia juga keletihan. Esok paginya, sebelum subuh sudah bergegas kembali ke Ipoh untuk mengejar bas ke Kampar seterusnya ke Langkap.

Rutin ini berlarutan selama 6 tahun. Ada usaha dan ikhtiar dibuat untuk memohon kepada pihak pengurusan supaya dapat ditukarkan ke satu lokasi yang lebih hampir dengan Kuala Kangsar; tetapi harapan hanya berbunga tetapi tidak pernah berbuah, apatah lagi gugur ke bumi. Kehuru-haraan ini menyebabkan reputasi dan prestasi kerja menjadi tidak tip-top. Badan letih, otak serabut, jiwa kacau. Pengurus Negeri waktu itu bagaikan tidak merelai aku untuk dikeluarkan dari Langkap. Lalu jadilah aku penunggu sepi di pekan kecil ini.am Syarikata

Hinggalah bila sahaja Pengurus Negeri, Azizi ditukarkan ekoran keujudan satu program transformasi dalam Syarikat, ke Ibu Pejabat di KL. Aku sehingga pada malam diadakan jamuan meraikan pertukaran boss ini, masih mencuba merayu kepada beliau; tukarkan saya boss, beri saya keluar dari Langkap. Namun dia masih terpinga-pinga, no idea ke mana harus aku ditempatkan.

Apakala boss nombor satu sudah bertukar, wujud 'transformasi". Di Perak tiada lagi Pengurus Negeri. Nombor satu sekarang ialah Ketua Operasi Mel yang menjadi Pengurus Operasi Negeri. Unit Posniaga dipimpin oleh Ketua Posniaga Negeri. Haji Nadzri selaku KPN telah menggunakan kuasanya dan menukarkan Halim ke Langkap dan aku balik ke Kuala Kangsar; apakala kami saling membuat surat memohon pertukaran suka sama suka.

Kini sudah hampir genap setahun aku kembali ke Kuala Kangsar. Lebih 80% masalah yang menghantui selama ini telah berjaya dirungkaikan. Tahun ini puasa kembali teratur dengan sahur dan berbuka yang jauh lebih tersusun; taklah seperti lima enam tahun dahulu yang cempera.

Syukur, syukur Ya Allah.

Saturday, July 23, 2011

Telok Senangin di tepi laut

INISIATIF untuk menghimpunkan seluruh warga kerja Pos Malaysia Kuala Kangsar dalam satu program "makan dan mandi bersama" telah lama dirancang. Mungkin enam bulan dahulu usaha mulia ini telah mula digerakkan. Sesudah kakitangan khususnya dari kalangan posmen berjaya melepaskan diri mereka dari 'zon perang', maka idea telah dilontar kepada mereka untuk melaksanakan program yang membolehkan kesemua mereka dapat berada pada satu lokasi yang sama, dengan motif dan matlamat yang sama, bergembira dan ceria bersama-sama.


Pada peringkat awal, beberapa kekangan terpaksa dihadapi dan diutamakan dahulu proses penyelesaiannya. Antaranya isu 5'S di Unit Mel. Semua kakitangan telah memberikan komitmen yang padu terhadap program penceriaan sektor Posmel ini; dimana Cawangan Kuala Kangsar yang pernah menjadi lapang sasar kepada sebilangan pegawai kanan telah berjaya diubah dan diberikan wajah baru.


Semalam, 23hb Julai kita berhimpun di Telok Senangin. Di kawasan pantai Selat Melaka yang agak tersorok ini, kita kecapi kedamaian dan keceriaan. Hampir kesemua kakitangan posmen berserta keluarga masing-masing telah mempamerkan iltizam yang meyakinkan. Mereka saling bergotong royong memasak nasi dan lauk-pauk, membakar ikan, udang, sotong, kerang dan ayam di tepi pantai dengan nyalaan api kayu arang yang marak menyala akibat tiupan bayu laut yang konsisten.


Kita juga mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Syarikat Perusahaan Kicap Salmi Haji Tamin dari Enggor, Perak yang telah bermurah hati menaja barangan keperluan program hari ini seperti air mineral, kicap, sos cili dan sos tomato.


Alangkah seronok dan sedapnya menikmati juadah hidangan yang dimasak secara gotong-royong begini.


Sesudah menikmati makan malam yang amat mempersilakan; kita karaoke dulu Bang. Wah, baru kutahu bahawa sebilangan besar kakitangan posmen ini memang mempunyai bakat terpendam. Mereka mampu menyanyi dengan baik. Nanti, lain kali kita akan boleh anjorkan satu pertandingan nyanyian dari kalangan kakitangan. Pasti hebat. Begitu juga dengan ahli keluarga kakitangan, mereka juga berketrampilan serta berbakat.


Sesungguhnya program hari keluarga Pos Malaysia Cawangan Kuala Kangsar yang dilangsungkan di Telok Senangin di tepi laut ini; telah berjaya memperkukuhkan ikatan silatur rahim dikalangan setiap kakitangan. Program yang baik tidak seharusnya dimulakan dan kemudiannya terhenti. Ia mesti berkesinambungan. Bersama; kita boleh melakukannya lagi.


Cuma saya berasa terkilan dan memohon berbanyak maaf kepada kawan-kawan semua, kerana saya tidak dapat memberikan komitmen berterusan sehingga ke pagi hari Ahad disebabkan saya mempunyai agenda peribadi yang perlu dibereskan. Saya juga pada kesempatan ini mengucapakan selamat maju jaya kepada Sdr Noor Affandi bin Abdul Rahman, Posmen Tingkatan Kanan yang akan bertukar ke Depot Mel Simpang menanggung tugas sebagai Penyelia Posmen serta Sdra Firdaus yang bertukar ke Unit Pengangkutan, GPO Ipoh. Kehadiran anda berdua selama ini di Kuala Kangsar amatlah mengesankan dan teruskanlah memberi perkhidmatan yang cemerlang di tempat baru nanti.