BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Click here for Myspace Layouts

Wednesday, December 14, 2011

Cawi; di mana kamu?

APAKALA sahabat saya, Muhamad Noor seorang guru yang mempunyai minat yang tinggi terhadap seni fotografi dan sering memuat-naik gambar foto yang berseni dalam laman facebooknya; saya begitu teruja menghayati foto-foto berkenaan. Mutakhir ini, Muhamad Noor telah memuat-naik foto-foto burung dan menjodolkan foto-foto berkenaan sebagai 'Memelihara Burung Dalam PC". Saya amat tertarik dengan shot gambar burung yang di tampilkan. Telah ada gambar burung belibis, burung pekaka dan beberapa jenis lagi yang saya sendiri sudah terlupa untuk disenarai-panjangkan.

Menatap ganbar burung-burung ini; nostalgia saya terhantar kembali ke zaman kanak-kanak dahulu, dimana pada waktu itu saya juga berminat dengan burung. Berminat melihat burung dan suka juga bernakal-nakal melastik burung. Namun seingatan saya; saya bukanlah seorang handalan dalam melastik burung. Cuma pernah menjatuhkan seekor burung merbah dan apakala merbah itu gagal diselamatkan nyawanya; saya sudah tak berupaya lagi untuk meneruskan kegiatan melastik burung ini.

Di kampung, memang banyak burung berterbangan dan hinggap dengan penuh kebebasan. Pohon-pohon yang banyak tumbuh dalam kampung menjadi tempat burung-burung hinggap, berterbangan, membiak dan membuat sarang. Seorang sahabat bernama Sidi, amat suka menjejaki sarang burung di mana dia akan mengambil anak burung yang sudah tumbuh bulu pelepah; untuk dibela pula didalam sangkar. Burung seperti merbah dan gembala kerbau sering menjadi pilihannya untuk dipelihara.

Ada berbagai jenis burung di kampung. Merbah, gembala kerbau, tekukur, merbuk, pipit, ciak, pipit uban, cikniap, cawi, belatuk, pekaka, serindit, helang, jampuk, pungguk, burung hantu, ketuk ketampi, burung tukang, kelicap, bangau, ruak-ruak, ayam-ayam, murai dan banyak lagi memang mudah ditemui, baik pada waktu siang mahu pun malam. Pada waktu pagi suara burung-burung yang berbagai ini kedengaran berdecip-decip atau berkicauan memberikan indentiti tersendiri bagi kawasan kampung yang tenang damai.

Kalau pergi ke kawasan bendang di hujung kampung, kita pasti akan dapat melihat sarang burung tempua bergayutan di hujung pelepah pohon nyior yang condong ke arah bendang. Burung tempua itu boleh dilihat dengan jumlah yang banyak, ada yang berbuai-buai dalam sarang yang khusus dibina sebagai buaian. Oh, kreatifnya burung ini.

Baru-baru ini saya sempat menonton rancangan Panorama di TV1, yang memaparkan kisah seorang petani yang menjadikan kerja mengambil sarang burung tempua yang telah ditinggalkan bagi dijual kepada sesiapa yang berminat untuk menjadikan sarang burung itu sebagai hiasan. Tahu berapa harga yang dijualnya? Antara RM20 hingga RM40 sebuah. Kan moncah tu; tempua punya kreativiti, dia boleh buat duit.

Apakala menyebut burung-burung ini, saya teringat akan burung cawi. Terlalu lama rasanya saya sudah tidak melihat burung cawi. Dahulu dalam tahun 70an atau lewat 80an, burung cawi boleh dikatakan banyak bilangannya berterbangan berpasangan dalam kampung. Burung dengan bulunya berwarna hitam ini akan berbunyi nyaring sambil mencari ulat-ulat sebagai makanannya didahan-dahan pokok. Burung cawi mempunyai ekor yang menarik; iaitu berjuraian panjang. Kini sudah terlalu lama tidak melihat burung ini; apakah burung yang cantik ini sudah pupus? Harapnya tidak. Mungkin burung ini sudah tidak lagi kelihatan di kampung saya, tetapi harapnya ia masih banyak di tempat lain di negara ini.

2 ulasan:

Post a Comment