BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Click here for Myspace Layouts

Sunday, December 11, 2011

HENFON NAN SEBUTIR

NASIB BADAAANNN. Ini satu dailog yang agak melekat di hati daripada seniman ulung AY TS P. Ramlee. Ia mungkin satu keluhan kosong berakibat dari sesuatu insiden semasa yang menimpa diri. Apa lagi yang nak dikata; kerana sudah sedemikian suratanNya.

Hari Ahad minggu sudah (4hb Disember) teman telah kehilangan henfon, yang teman telah gunakan mungkin sekitar hampir setahun. Bukanlah telefon jenama termahal cuma dari jenis sedang-sedang aja dan henfon ini kiranya merupakan satu gadget yang penting dalam kehidupan seharian. Senang untuk menghubungi kawan-kawan dan begitulah sebaliknya. Kiranya rasa kasih terhadap henfon itu amat kuatlah sebab banyak informasi telah di input ke dalamnya, dan ia amat membantu. Ianya adalah realiti bagi kenyataan 'maklumat dihujung jari' yang selalu disebut-sebutkan itu.

Hari Ahad 4hb Disember itu, pada waktu tengahari teman sekeluarga telah pergi memenuhi undangan kenduri seorang sahabat di Kubang Halban. Memang menyeronokkanlah menghadiri majlis perkahwinan anak sahabat ini, kami dilayan baik oleh tuan rumah yang kebetulan merupakan seorang kakitangan sejabatan dengan isteri teman. Tidak lengkap dengan disajikan makanan, kami juga turut dibekalkan lagi dengan juadah serta lauk-pauk untuk dibawa pulang.

Sesampai di rumah; teman bergegas masuk. Nak ke bilik air; sebab rasa nak terkencing mungkin disebabkan telah meminum air agak banyak semasa di rumah orang kenduri tadi. Selesai urusan di bilik air, terus duduk-duduk di ruang depan dibawah kipas angin berkelajuan skala 4. Hembusan angin yang menghilangkan rasa kepanasan akibat sepanjang perjalanan di bawah terik mentari petang; telah mempelawa mata untuk meruyup. Mungkin penangan nasi minyak yang disantap tadi menjadi pemangkin kepada rasa mengantuk.

Orang mengantuk disorongkan bantal. Terlelaplah jawabnya. Baik punya tidur pada petang Ahad begini.

Hanya sekitar pukul enam sesudah siap mandi dan sebagainya, anak-anak heboh untuk balik ke Padang Rengas. Sewaktu menekan butang penggera kereta, didapati sistem penguncian kereta tidak berfungsi. Eh, kenapa ya? Amalina diarah untuk melihat secara dekat apayang telah berlaku. Dia mendapati pintu kereta di bahagian pemandu dalam keadaan renggang; yakni telah dibuka tetapi tidak ditutup dengan sempurna.

"Pintu tak tutup! Siapa yang bukak??", Amalina menyoal kembali, sambil menutup pintu kereta.

Teman tekan lagi kekunci alat penggera dengan maksud untuk mengunci pintu itu tetapi sistem kuncian masih tidak berfungsi sebagaimana lazim. Apa dah jadi? Amalina meneliti keadaan selanjutnya dan mendapati pintu sebelah kiri hadapan juga renggang; seperti mana pintu kanan tadi.

"Pintu ini pun tak tutup, ayah".

Teman menuju ke kereta dan terus kepada pintu sebelah kiri. Sahih, pintu itu renggang atau pun telah dibuka tetapi gagal ditutup kembali dengan sempurna. Teman lihat laci pada dash board di sebelah kiri dalam keadaan terbuka. Siapa buka ini? Amalina hanya menggeleng-gelengkan kepada tanda dia tidak mengetahuinya.

Perjalanan untuk ke Padang Rengas diteruskan, tetapi semasa hendak mengundurkan kereta; teman teringatkan henfon. Kereta diparkir semula dan teman masuk ke dalam rumah untuk mencari henfon. Tiada henfon di dalam rumah. Tiba-tiba teman teringat, sahih henfon itu diletakkan pada satu ruang di bawah stereng kereta dan dengan pantas teman datang semula ke kereta. Tinggal bekas; itulah realitinya. Kompom (confirmed) henfon itulah yang menjadi penyebab mengapa kedua-dua pintu kereta berada dalam keadaan tidak ditutup rapat.

Hilanglah gadget yang amat penting. Hilang segala maklumat. Nombor telefon rakan dan sahabat, jabatan dan firma, menteri dan ketua jabatan ghaib bersama henfon itu. Mengapa dikenang, mengapa difikir....asal kapas jadi benang, dari benang menjadi kain; benda dah terlepas usah dikenang, pergi ke kedai belilah yang lain.

Ini musim cuti sekolah. Mungkin ada budak-budak nakal yang tiada apa-apa kegiatan semasa cuti, telah melilau dan bermain-main sekitar tempat parkir kereta dan ternampak akan henfon yang dibiarkan dalam kereta yang tidak berkunci. Rezeki dialah tu.

Selasa 6hb Disember, teman dengan penuh rampus telah membeli baru sebutir lagi henfon. Jauh lebih murah dari henfon yang telah hilang itu. Ianya hampir menyerupai spesifikasi yang dimiliki oleh henfon yang ghaib itu; tetapi realitinya banyak yang kureng, Takpe lah, asalkan boleh memudahkan urusan panggil-memanggil kengkawan dan mengutus mesej; kira okay. Teman sukakan kameranya sebab 5 mp. Cantik gambar yang dihasilkan dan lebih cantik bila diup-load dalam pc. Merah warnanya.

Selesailah sudah masalah ketiadaan telefon. Kehidupan kembali normal.

Ahad 11 Disember. HENFON AKU HILANG BALIKKKKKKKKKKKKKKK. Memang pelik, memang misteri. Hilang dalam rumah. Siapa yang ambil. Siapa yang sorok. Salah letak? Ah, tak tahulah. Sewaktu teman menaip ni; teman memang dalam keadaan lebang-libu. Telefon baru itu, yang dah hilang itu; masih banyak ruangnya yang belum teman terokai. Belum habis lagu-lagu yang teman load-in didengari. Memang menghampakan.

Nasiiibbb badaaaannnnn.

0 ulasan:

Post a Comment