BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Click here for Myspace Layouts

Friday, September 2, 2011

Hari Reunion Class of 1975 SMT Kati Kali 1




KHAMIS, 1hb September 2011 adalah satu tarikh yang amat bererti kepada sekumpulan para lepasan Sekolah Menengah Temenggong, Kati, Kuala Kangsar; kerana pada tarikh keramat ini telah diadakan Majlis Perhimpunan Semula atau reunion. Reunion yang secara khususnya melibatkan para pelajar lepasan tahun 1975 telah diadakan di Tasek Raban Resort, Lenggong.

Usaha untuk merealisasikan program yang julung kali diadakan ini datangnya daripada hasrat dan keinginan Sdr Khairi Kamil, yang kini berkhidmat sebagai Ketua Trafik Daerah Kubang Pasu; yang mahukan supaya kesemua geng sebayanya dapat berhimpun kembali sesudah 36 tahun terpisah. Idea dan hasrat ini dilontarnya melalui sessi perbualan online dalam media Facebook kira-kira lima atau enam bulan dahulu. Kata berjawab, gayung bersambut bak kata orang; rakan-rakan yang punya akaun Facebook mulalah memberikan respons yang memberangsangkan. Mereka kesemuanya juga mempunyai hasrat dan keinginan yang sama untuk bertemu, bersua muka dan bertanya khabar berita kawan-kawan sesudah sekian lama terpisah sebaik sahaja meninggalkan alam persekolahan pada penghujung tahun 1975 dahulu.



Disini kami berhimpun membugarkan kembali nostalgia masa lalu, sesungguhnya perhimpunan semula ini menimbulkan kenangan yang amat membekas di dalam hati setiap daripada kami.


Saya sendiri turut terlibat dalam chatting dalam Facebook itu, biarpun saya datang dari generasi 1974. Walaupun saya senior setahun awal dari mereka, tetapi hampir setiap wajah para lepasan 1975 ini dikenali dan biasa menjadi rakan sepermainan. Ini yang mungkin menjadi faktor membolehkan saya juga mudah ikut serta dalam usaha menggerakkan reunion ini. Antara rakan terawal yang kerap berbualan secara online ialah Bear, Azelan Md Noh, Yong Rabaayah Puteh Ishak, Yusof Ghani, Ahmad Roslan, Othman Ramli, Marizan Johan, Thalasiah dan beberapa nama lagi.

Macam-macam yang diperbualkan, beraneka nostalgia kembali diangkat untuk sama-sama dikenang. Gambar-gambar pada era remaja semasa dalam Tingkatan 3, 4 dan 5 dimuat-naik dalam Facebook dan masing-masing terhantar kembali ke alam era masih bersekolah tiga puluh tahun lebih dahulu. Pada waktu inilah berita pilu bahawa ada antara rakan-rakan sebaya yang telah pergi dahulu menyahut panggilan Illahi, disebar-luaskan. Maka, kita yang masih punya usia pada waktu ini; memanjatkan doa dan mensedekahkan Al Fatihah buat rakan yang telah kembali.

Perancangan untuk menjayakan reunion tetap diterus-usahakan. Khairi kita percaya mengatur strategi dari jauh dan saling bertele-conference dengan beberapa sahabat berkaitan komitmen untuk menjayakan juga reunion yang ulung dan sulung ini. Beliau sendiri yang akan contact by personal dengan setiap rakan sekelas atau sebaya dan menceritakan proposal penganjoran reunion ini.

Sehari sebelum bermula bulan puasa Ramadhan, dengan gerak kerja yang turut diatur sama oleh Sdr Bear; satu program ngeteh telah diadakan di Kuala Kangsar. Pada program ini beberapa orang warga emas SMT telah dapat berhimpun, bersembang-sembang santai sambil fokus untuk melaksanakan juga acara reunion yang bakal diadakan pada Hari Raya Ketiga. Antara yang hadir pada malam ngeteh ini ialah Khairi Kamil, Yusof Ghani, Azelan Md Noh, Khairul Aman, Isa Jidin, Othman Ramli, Kamarulzaman serta isterinya Mahani, Rabaayah Puteh Ishak, Bear, Amran Ahmad Mokhtar, Ahmad Lan Tajuddin dan saya. Perjumpaan 'mini' ini sudah cukup mengujakan; ah betapa hebatnya jika reunion nanti ianya akan menjadi lebih hebat dan prima!!
Ramadhan terus dititi dengan pengisian ibadat berpuasa, bertarawih dan bertadarus sepanjang 30 hari dan malamnya. Kemudian muncul Syawal bersama sambuatan Hari Raya Aidil Fitri; simbol kemenangan dan kejayaan merentasi Ramadhan yang getir. Kemunculan Aidil Fitri disambut meriah dan setiap daripada kita menghitung hari untuk mengggamit rasa teruja yang amat sangat tatkala dapat bersama-sama berhimpun dalam program reunion di Tasek Raban Resort nanti.

Bersama rakan sebaya, Haji Zaini bin Haji Harun, Pegawai di Bahagian Keselamatan JPM yang telah 37 tahun terpisah dimana kami bersua kembali pada reunion ini.

Pada malam 31 hb Ogos, kami berhimpun dahulu di Dewan Persidangan Tasek Raban Resort; iaitu Khairi Kamil, Isa Jidin, Yusof Ghani, Bear dan Idris Ramli serta saya sendiri bagi membincangkan final touching program akan akan berlangsung esoknya. Pada dasarnya, everything is finalise dan program boleh on tepat pada masa dan ketikanya. Khairi memberikan taklimat akhir; bagaimana rupa bentuk tantatif program serta apa fungsian setiap peserta dalam program yang telah diatur ini.

Hari 1hb September. Saya sendiri sampai jam 11.10 pagi dan di lobi Tasek Raban Resort kelihatan telah ramai kengkawan yang telah sampai. Ternampak kemeriahan yang ketara di situ. Saya salingan berpegangan tangan dengan An ketika sampai dalam kumpulan kawan-kawan yang kelihatan merenung dan hati tertanya-tanya. Selepas 36 tahun, segalanya berubah. Paras rupa, susuk badan, penampilan berubah baik samada dalam skala 25%, 50% atau ada yang sehingga 110%. Kita dalam mendakap kawan-kawan, mahu tidak mahu terpaksa bertanya; siapa ni? Jangan ada sesiapa berasa terkilan jika pada 36 tahun yang lampau, dianya adalah rakan kamcing kita, tetapi hari ini akibat dari perubahan fizikal yang sedemikian ketara, kita menjadi tidak kenal atau mengecamnya lagi secara spontan. Lalu bila sahabat itu sendiri memperkenalkan dirinya atau ada rakan lain yang membantu memperkenalkannya; kita akan sama-sama berderaian ketawa, saling mentertawakan akan arus perubahan yang berlaku.




Sekitar 30 orang rakan sebaya dari satu generasi 1958 telah berhimpun. Memulakan acara majlis ialah bacaan tahlil dan doa yang dipimpin oleh Sdra Hasim Shariff; bagi mendoakan kesejahteraan setiap yang hadir serta mohon limpah rahmat ke atas roh-roh para rakan sebaya yang telah kembali ke Rahmatullah lebih dahulu serta juga roh-roh para guru yang pernah menumpahkan bakti mengajar kita semua semasa di SMT dahulu.

Sdra Khairi Kamil kemudiannya memberikan ucapan alu-aluan mengalu-alukan kehadiran sahabat-sahabat berserta keluarga dalam majlis ini. Beliau amat menghargai kesediaan rakan-rakan untuk ikut serta dalam program perhimpunan semula ini, dan menyatakan rasa gembiranya kerana dapat menatap kembali wajah-wajah rakan-rakan yang ditinggalkan bersama jejak-jejak zaman persekolahan dahulu. Beliau berharap, perjumpaan seumpama ini bukanlah perjumpaan pertama dan terakhir; tetapi sewajarnya menjadi platfom kepada penganjoran satu lagi majlis yang lebih besar dan meriah pada masa akan datang.

Saya kemudiannya mengisi slot berikutnya, dengan menyampaikan sebanyak 25 rangkap pantun, syair, gurindam yang berkaitan dengan perhimpunan semula ini.

Majlis diteruskan dengan acara suai-kenal atau memperkenalkan semula diri sendiri kepada kawan-kawan. Semua peserta diberi peluang untuk bercakap memperkenalkan diri, memperkenalkan isteri atau suami, dan anak-anak. Mereka juga menceritakan sedikit sebanyak tentang ke mana mereka merantau membina kehidupan baru selepas alam persekolahan.

Majlis suai kenal ini berakhir hingga jam 2.30 petang dan selepas itu majlis berehat untuk jamuan makan dan solat zuhur.

Program disambung semula dengan acara santai cabutan nombor bertuah, di mana suami atau isteri kepada peserta telah dipelawa untuk mencabut nombor bertuah sebanyak 14 cabutan.

Majlis diakhiri dengan sessi bergambar secara berkumpulan. Gambar-gambar dalam seluruh sessi reunion ini telah diambil oleh Sdr Mohammad Noor; rakan sekelas yang bertugas sebagai guru dan mempunyai kemahiran yang baik dalam seni fotografi.

Sesungguhnya program reunion ini amatlah memberi makna yang amat besar kepada pengukuhan persahabatan bagi satu generasi yang telah terpisah lama. Semoga akan ada lagi reunion kali kedua pada masa depan. Kita mendoakan agar kita semua dapat berhimpun sekali lagi. Semoga usia kita dipanjangkan Allah dan kita dapat memperkukuhkan silaturrahim ini dengan lebih perkasa lagi.

0 ulasan:

Post a Comment