BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Click here for Myspace Layouts

Sunday, August 7, 2011

Antara Langkap dan Kuala Kangsar

Marhaban Ya Ramadhan. Hari ini sudah tujuh hari berpuasa. Seronok sangat menghayati Ramadhan. Selepas tujuh kali Ramadhan berada di perantauan, iaitu di Langkap akhirnya pada Ramadhan tahun ini aku kembali berada di tengah keluarga. Inilah nikmat yang paling mensyahdukan kepada seorang aku yang usia sudah memanjat 54. Bayangkan betapa derita dan sengsaranya seorang lelaki warga emas berada jauh dari keluarga menghadapi ujian Ramadhan yang getir pada sepanjang 6 tahun berada diperantauan. Sukarnya mengejar waktu membuat persiapan berbuka; dan lebih sukar lagi untuk menikmati sahur yang santai.

Selepas beberapa 'kejayaan' kecil diangkat semasa berkhidmat sebagai Pengurus Cawangan di Padang Rengas; bulan Mei 2005 sepucuk surat tawaran kenaikan pangkat dari Kerani Tingkatan Biasa C3 kepada Kerani Kanan C4 telah dihulurkan kepadaku. Anda ditawarkan kenaikan pangkat sebagai Kerani Kanan dan diminta untuk mengambil alih tugas selaku Pengurus Cawangan Langkap. Mak ai, jauhnya! Itu komen pertama yang terpacul dari mulutku.

Namun sebagai kakitangan yang mesti mematuhi arahan; Padang Rengas kena ditinggalkan sementara Langkap pula menunggu untuk menggalas tanggung jawab baru. Padang Rengas, pekan kecil yang terletak di sebelah utara Kuala Kangsar dimana aku telah berkhidmat di Pejabat Pos pekan kecil ini sebagai Pengurus Cawangan; diucapkan selamat tinggal. Tinggallah pohon mempelam yang mempunyai buah berkualiti, tinggallah hiruk-pikuk, tinggallah segala debu dan habuk dari Kilang Simen Perak Hanjoong masa itu (Kini YTL Cement).

Di Langkap, aku hanya pergi berseorangan. Isteri dan anak-anak masih menetap di Taman Bunga Raya, di mana anak-anak masih bersekolah di SMK Tun Perak serta SK Perempuan. Aku jadi OBJ di Langkap. Orang Besar Jajahan? No lah; Orang Bininya Jauh. Menyewa di sebuah rumah teres di Taman Pelangi, Langkap. Oh, rumah yang betul-betul berstatus rumah bujang; appa pun takdak! Malam hanyalah bertemankan TV 14"; dan terbatas untuk menonton siaran TV1, TV2 dan TV3 sahaja.,

Makan siang malam pagi petang ke kedai, warung atau restoran. Kos sara hidup tinggi. Bila jiwa meronta nak balik ke Kuale; tak peduli apa lagi, mesti balik. Siapkan kerja cepat-cepat dan bergegas ke perhentian bas menunggu bas Hup Soon untuk ke Kampar. Dari Kampar pula menaiki bas Kinta ke Ipoh. Di Ipoh An menunggu penuh setia, biarpun dia juga keletihan. Esok paginya, sebelum subuh sudah bergegas kembali ke Ipoh untuk mengejar bas ke Kampar seterusnya ke Langkap.

Rutin ini berlarutan selama 6 tahun. Ada usaha dan ikhtiar dibuat untuk memohon kepada pihak pengurusan supaya dapat ditukarkan ke satu lokasi yang lebih hampir dengan Kuala Kangsar; tetapi harapan hanya berbunga tetapi tidak pernah berbuah, apatah lagi gugur ke bumi. Kehuru-haraan ini menyebabkan reputasi dan prestasi kerja menjadi tidak tip-top. Badan letih, otak serabut, jiwa kacau. Pengurus Negeri waktu itu bagaikan tidak merelai aku untuk dikeluarkan dari Langkap. Lalu jadilah aku penunggu sepi di pekan kecil ini.am Syarikata

Hinggalah bila sahaja Pengurus Negeri, Azizi ditukarkan ekoran keujudan satu program transformasi dalam Syarikat, ke Ibu Pejabat di KL. Aku sehingga pada malam diadakan jamuan meraikan pertukaran boss ini, masih mencuba merayu kepada beliau; tukarkan saya boss, beri saya keluar dari Langkap. Namun dia masih terpinga-pinga, no idea ke mana harus aku ditempatkan.

Apakala boss nombor satu sudah bertukar, wujud 'transformasi". Di Perak tiada lagi Pengurus Negeri. Nombor satu sekarang ialah Ketua Operasi Mel yang menjadi Pengurus Operasi Negeri. Unit Posniaga dipimpin oleh Ketua Posniaga Negeri. Haji Nadzri selaku KPN telah menggunakan kuasanya dan menukarkan Halim ke Langkap dan aku balik ke Kuala Kangsar; apakala kami saling membuat surat memohon pertukaran suka sama suka.

Kini sudah hampir genap setahun aku kembali ke Kuala Kangsar. Lebih 80% masalah yang menghantui selama ini telah berjaya dirungkaikan. Tahun ini puasa kembali teratur dengan sahur dan berbuka yang jauh lebih tersusun; taklah seperti lima enam tahun dahulu yang cempera.

Syukur, syukur Ya Allah.

0 ulasan:

Post a Comment