BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Click here for Myspace Layouts

Saturday, July 13, 2013

Iftar di Istana Iskandariah.

PETANG tadi sewaktu keluar dari rumah dan sesampai sahaja di persimpanganlampu isyarat TBR, ada tiga orang anggota polis trafik sedang berkawal. Jam menunjukkan pukul 6.10. Ada apa ya? Selepas memerhatikan keadaan, saya dapat mengagak bahawa kawalan trafik itu adalah untuk melancarkan keberangkatan DYMM Pemangku Sultan ke Istana Iskandariah dalam sedikit masa lagi. Dalam bulan Ramadan begini, adalah lazim bagi Pemangku Sultan berangkat ke istana di Bukit Chandan bagi menghadiri majlis berbuka puasa dengan kumpulan sasar tertentu yang telah ditetapkan lebih awal. Semasa saya masih berkhidmat sebagai Pengurus Cawangan Pos Malaysia Kuala Kangsar dahulu (kini saya telah bersara mulai 25.06.2013); saya juga adalah diantara jemputan untuk majlis berbuka puasa dengan Tuanku Pemangku Sultan di Istana Iskandariah. Lazimnya, seminggu sebelum majlis berlangsung; saya akan menerima warkah jemputan daripada Dato' Pengelola Bijaya di Pejabat Paduka Sri Sultan Perak. Bukanlah saya seorang sahaja yang diundang, tetapi kesemua Ketua-Ketua Jabatan dari seluruh negeri. Kebiasaannya majlis tersebut dibuat secara berkelompok iaitu dengan mensekalikan undangan dan kehadiran Orang-Orang Besar Istana, Wakil-Wakil Rakyat, Hakim-Hakim Mahkamah dan tokoh-tokoh masyarakat yang kebanyakannya terdiri daripada mereka yang pernah dianugerahi darjah kebesaran yang membawa gelaran Dato'. Dalam suasana yang begitu protokol ini, saya sebenarnya hanyalah 'seekor semut merah' dikalangan big-guns ini. Malah kalau nak sebaris dengan Ketua-Ketua Jabatan pun, aduhai kecilnya saya. Ketua Jabatan yang lain mungkin merupakan Pengarah Kerja Raya Negeri atau Pengurus Negeri Tenaga Nasional atau Pendaftar Mahkamah Tinggi atau Timbalan Ketua Polis Negeri atau setidaknya Pegawai Daerah; tetapi saya hanyalah seorang PM atau pun Postmaster di Pejabat Pos Kuala Kangsar. Namun saya apakala berada di Istana, saya tidak boleh merasakan diri saya kecil tetapi saya sewajarnya berani untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan Ketua-Ketua Jabatan ini. Satu kemujuran bagi saya; tidak ada pegawai kanan Pos Malaysia yang lain diundang dalam majlis ini; sayalah pegawai terkanan Pos Malaysia yang ada dalam Istana pada ketika ini. Semasa tahun pertama ataupun kali pertama menghadiri undangan ini; terasa juga gabra untuk berada di dalam suasana yang penuh protokol ini. Selain sedikit rasa rendah diri, keresahan tentang dimana dan dengan siapa saya nak duduk semasa berada di Balai Santapan nanti. Memang ada Ketua Jabatan terutama yang berkhidmat sekitar Kuala Kangsar yang saya kenali, tetapi apabila berada didalam Balai Santapan itu terdapat ratusan orang dan sudah tentulah timbul kesukaran untuk mencari mereka. Saya anggap saya amat bernasib baik di atas penglibatan aktif saya dalam UMNO. Bila saya masuk sahaja dalam Balai Santapan, ternampak ramai kawan-kawan yang sudah pun bergelar Yang Berhormat, dan mereka pula apakala ternampak saya yang seperti tercari-cari tempat duduk yang sesuai; telah memanggil saya untuk duduk dalam kelompok mereka. Sesungguhnya bukan seorang berdua rakan seperjuangan yang telah menjadi ADUN. ADUN Kenering, ADUN Kota Tampan, ADUN Manong, ADUN Sungai Manik, ADUN Lintang, ADUN Pengkalan Bharu, ADUN Behrang, ADUN Batu Kurau dan beberapa orang lagi adalah rakan seperjuangan sejak era Pemuda dahulu. Selamat, saya sudah tidak mengalami apa-apa rasa gementar atau berasa akan keseorangan didalam majlis yang hebat itu. Agaknya inilah faktor yang menyebabkan hampir kesemua Pengurus Cawangan Kuala Kangsar sebelum saya telah mengambil ketetapan untuk 'ponteng' dari menghadiri jemputan ke Istana ini. Mereka mungkin ketiadaan rakan untuk pergi bersama, duduk bersama dan balik bersama dari program yang tutut dihadiri oleh Sultan. Untuk menghadiri majlis seumpama ini, setiap jemputan diwajibkan memakai baju kebangsaan yang lengkap. Berikutan program berkala sebegini, kelengkapan baju kebangsaan sewajarnya kena ada beberapa pasang. Walaupun Sultan mungkin tidak meneliti penampilan kita; tetapi sebagai warga beradab sewajarnya kita membuat persediaan serapi mungkin sebelum menghadap Tuanku. Dalam majlis berbuka puasa begini, lazimnya selepas selesai majlis berbuka; Sultan memperkenankan setiap hadirin utnuk menghadap dan bersalam dengan Baginda, Raja Muda, Raja Di Hilir, Raja-Raja Bergelar, Menteri Besar serta Anggota Exco Kerajaan. Seorang jurugambar yang sering mengambil foto bagi apa-apa upacara rasmi di Istana, yang juga merupakan pemilik Kedai Gambar Photo Saloon di Kuala Kangsar iaitu En. Goh adalah kenalan saya. Beliau berasal dari Kampung Chui Chak, Langkap. Bila sahaja beliau ternampak saya, dia segera memberi isyarat bahawa tatkala saya menghadap Sultan dan bersalaman; beliau akan snap gambar saya dari sudut yang menarik. Maka dapatlah saya bergambar cantik dengan Sultan. Selain majlis berbuka puasa, semua hadirin juga diminta untuk bersama-sama dengan Tuanku mendirikan solat maghrib, isya' dan solat tarawih. Solat lazimnya akan diadakan di tingkat dua istana, iaitu dibalai penghadapan yang diubah konsepnya menjadi musolla. Semasa santapan selepas berbuka berakhir; pengacara majlis membuat pengumuman meminta setiap hadirin supaya bersama-sama solat isya' dan tarawih. Beliau juga memaklumkan bahawa pintu pagar utama telah dikunci dan tiada sesiapa dibenarkan keluar kecuali jemputan bukan beragama Islam. Ada juga terdengar keluhan kecil dari kalangan hadirin yang mungkin ada agenda lain yang sudah dirancang untuk ke mana-mana selepas berbuka puasa dan dengan pengumuman itu rosaklah program mereka. Sesungguhnya berbuka puasa dengan Tuanku di Balai Santapan, Istana Iskandariah serta berpeluang bersolat jemaah secara ekslusif dengan payung negeri ini adalah satu pengalaman yang amat berharga. Daulat Tuanku! Menjunjung Kasih, Tuanku.

0 ulasan:

Post a Comment