BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Click here for Myspace Layouts

Saturday, July 31, 2010

Langkah melangkah di KL

KRAMAT ditinggalkan pada malam itu, menuju kembali ke pusat bandar. Dengan teksi KL kami redah malam yang kian rancak di ibu negara. Tapi ke manakah distinasi yang hendak dituju? Paling utama, perjalanan ini mestilah berakhir dengan menjumpai tempat untuk tidur. Aha, aku teringatkan Chu Ro yang tinggal di salah sebuah rumah pangsa yang berdiri membentuk gunung batu di KL ini. Jalan Shaw; aku pantas memberitahu pemandu teksi itu akan lokasi yang hendak kami tuju.
Kami akhirnya sampailah di Rumah Pangsa Jalan Shaw atau kini dikenali sebagai Jalan Hang Tuah. Mak datuk aih, bukan satu; bukan dua rupanya blok rumah pangsa di sini. Mengeratup weh. So, blok yang mana mak saudara kamu duduk? Din pulak bertanya soalan cepumas. Entah. Aku dan Din melangut dari satu blok ke satu blok dari tepi jalan. Kenderaan yang lalu lalang bertali arus. KL terus sibuk biarpun pada waktu malam. Manusia juga bertali arus melalui jalan yang kami tercatuk di bahunya. Namun setiap seorang yang melalui berhampiran kami yang kelihatan tercangak-bangak itu langsung tidak mempedulikan kami.
Jika fenomena seperti ini berlaku di kampung kami, sudah pasti akan ada di antara orang yang lalu lalang itu akan bertanya, nak ke mana, nak cari siapa, awak ni dari mana. Tetapi di KL ini, kami tidak diperdulikan. Tiada seorang pun yang prihatin, tak ada seorang pun yang busy body atau tak ada seorang pun yang kelihatan seperti mahu membantu. Mereka mempunyai urusan sendiri yang mesti dibereskan segera. Mungkin mahu segera sampai ke rumah. Mungkin ada temujanji dengan seseorang dalam tempoh waktu terdekat. Atau mungkin dia hendak terberak sangat-sangat dan sasarannya hanya satu iaitu pintu jamban. Mana mungkin dia nak banyak bersoal jawab dengan pendatang desa macam kami yang serupa rusa masuk kampung.
Akhirnya, aku dan Din membuat keputusan; kita mesti bergerak dari kawasan rumah pangsa Jalan Shaw ini, dan pergi ke mana sahaja asalkan ada tempat untuk boleh tidur pada malam ini yang kian mengensot tua. Dari Jalan Shaw kami menapak menuju ke arah Jalan Pudu, dengan berpandukan arah bangunan Penjara Pudu. Sampai sahaja di depan pintu utama Penjara Pudu, aku buat lawak kepada Din. "Dalam ni boleh tidur apa?". Din hanya berwajah mencuka. Saat dan ketika yang tidak sesuai untuk buat lawak rupanya.
Kami berdua menyusuri Jalan Pudu melalui kaki lima deretan rumah kedai. Kesemua kedai-kedai itu sudah menutup urusan perniagaan mereka untuk hari itu. Mungkin pemiliknya sedang berehat pada waktu ini, menanti waktu untuk tidur dan esok pagi bangun semula dan meneruskan rutin hidup. Sedangkan aku dan Din terus menapak menuju ke distinasi yang tidak diketahui.
Jika duit banyak dalam poket, jawapan mudah kepada pencarian tempat untuk tidur ini ialah dengan menyewa hotel. Tidurlah dengan senyenyak-nyenyaknya. Tetapi, kes kami sekarang ini ialah kes dua manusia pokai datang ke KL tanpa tujuan. Duit mungkin ada dalam poket masing-masing, tetapi dengan amaun yang very limited. Jangan kau coba untuk tidur di hotel, nanti bergadai seluar baju pun masih tidak mencukupi duit untuk membayar harga sewa bilik.
Akhirnya kami tiba di sebuah rumah kedai dalam deretan itu, yang sedang dalam proses pindaan (renovation). Aku dan Din melangut meninjau-ninjau keadaan dalam bangunan yang sedang dalam pembinaan itu. Memang teruk; papan, simen, kayu dan segala macam mak nenek berterabur di lantai tingkat atas rumah kedai itu.
Menumpang tui limpahan cahaya lampu jalan di Jalan Pudu yang menerangi ke dalam bangunan rumah kedai yang sedang dalam pembinaan itu; aku dan Din mula 'bekerja'. Kami alihkan mana-mana papan, kayu, baldi bancuhan simen, kertas karung simen serta apa sahaja lalu mengangkat sekeping plywood lantas meletakkannya di atas lantai yang telah kami 'bersihkan' tadi. Kita tidur saja di sini malam ini, demikian ketetapan yang dibuat oleh Din. Wokay, no hal.
Tidurlah aku dan Din dalam rumah kedai yang sedang dalam renovation itu.
Aduhai nasib. Elok-elok duduk di kampung, gatal nak pergi 'menjauhkan tahi dari rumah'. Akhirnya tidur di tempat begini. Si tukang rumah itu pun tak sanggup untuk tidur dalam bangunan yang masih belum sempurna binaannya; tetapi dua orang budak Lubuk sudah mendengkur baiiikkkk punya, sementara menjelang ketibaan mentari esok. Semoga esok akan lebih baik daripada hari ini.....
Subuh esoknya, mungkin sekitar pukul 6.00 pagi Din sudah bangun. Dia segera menggerakkan aku supaya segera bangun dari tidur. Ini bukan rumah kita, kita mesti cabut sebelum orang-orang yang bekerja membina rumah kedai itu tiba. Dalam kusut-masai itu, aku dan Din turun dari tingkat atas. Di bawah kami nampak ada paip air dengan getah penyalur air masih terikat di kepalanya. Kami membasuh muka dan menggosok gigi, tetapi tidak mandi. Cukup sekadar membasuh muka sebelum meneruskan perjalanan. Ke mana?
Kita pergi ke Jalan Bukit Bintang. Kita pergi ke Pejabat Pos Jalan Bukit Bintang; kita cari Sham Pak Itam. Itu rancangan Din. Okay, setuju.
Kami menapak lagi di jalanraya tengah ibu kota. Perut terasa lapar dan dahaga. Aha, ini memang kena keluar duit untuk membayar harga makanan. Di mana agaknya ada kedai berharga murah di KL ini. Jalan-jalan cari makan. Jalan punya jalan, tiba-tiba kami ternampak ada satu gerai menjual roti canai dan teh tarik yang dikendalikan oleh mamak. Mari kita pekenan roti canai dulu.
Inilah teh tarik pertama ku hirup dalam hidup, ketika usia menjejak 17 tahun plus. Memang sedap, memang kow. Satu kali kena, dua kali mahu... Oh. KL ada benda yang tak ada di Lubuk; malah tak ada juga di Kuale. Tahun 1974 mana ada lagi gelombang teh tarik melanda Kuale.
Dan untuk buat beberapa ketika, kami lepaking dulu di warung teh tarik mamak ini sementara menunggu sehingga jam menunjukkan pukul 8.00 pagi lebih; untuk kami dapat menemui Sham yang berkerja sebagai kerani di Pejabat Pos Jalan Bukit Bintang. Tetapi di manakah pula letaknya Pejabat Pos itu, kami memang tidak mengetahuinya. Kena bertanya... BERSAMBUNG.

0 ulasan:

Post a Comment