BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Click here for Myspace Layouts

Thursday, July 29, 2010

Kuala Lumpur: Kami Datang.

LAMA benar saya tidak menulis. Mungkin sibuk dengan agenda lain menyebabkan masa untuk menghadap skrin komputer jadi terbatas dan idea pun agaknya tak berapa berkocak. Tenang, tenang saja.
Along, anaknda sulungku baru sahaja mengutusi sms dengan mesej meminta aku carikannya kerja di sini (Kuale) kerana katanya sudah malas nak tinggal di KL. Wah, baru kau tahu penangan hidup di KL yang segala-galanya memerlukan wang. Baliklah, nanti kita ikhtiarlah semoga ada kerja yang sesuai untuk kau sandang.
Ayah dahulupun masa sesudah lepas SPM pada tahun 1974, telah mengorak langkah menuju ke KL. Mulanya hanya atas faktor menemani rakan sekampung yang mendapat panggilan temuduga jawatan Juruteknik di Institiut Teknoloji Kebangsaan (ITK) Jalan Gurney; iaitu nama lama bagi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekarang. Maka pada suatu pagi, berangkatlah kami ke Kuale untuk menaiki teksi ke KL. Proses menaiki teksi ini pun memakan masa yang agak lama, sebab pemandu teksi kena cari atau dapatkan seramai empat orang penumpang untuk ke KL; baharulah dia boleh memulakan perjalanan panjangnya.
Pemandu teksi yang amat 'berkira' itu akhirnya memperolehi dua orang lagi penumpang yang hendak ke KL apakala jam hampir pukul 12.oo tengahari. Waktu itu perjalanan ke KL bukannya melalui lebuhraya seperti sekarang, sebaliknya menggunakan laluan jalanraya Persekutuan yang belum juga dinaiktaraf seperti sekarang. Jalan bengkang-bengkok, sempit dan kerap ekor-mengekor pada sepanjang perjalanan ke ibu negara itu. Perjalanan dengan teksi juga dipilih sebab pada waktu itu belum ada lagi perkhidmatan bas ekspres terus dari Kuale ke KL.
Mungkin pada sekitar pukul 8.30 malam, teksi Mercedes 190D keluaran tahun 1965 sampai di KL. Limpahan lampu neon dengan berbagai rupa dan warna serta variasi pencahayaannya menyambut ketibaan kami anak Kampung Paya ke kotaraya. Ah, hebat sekali KL pada waktu malam. Kenderaan masih bertali arus, warga kota masih tidak nampak sempadan siang dengan malam yang baru menjenguk. Kami anak desa ini mahu ke mana sekarang? Duhai KL, kami sudah datang!..
Kata Din, moh kita pergi ke rumah seseorang yang merupakan emak saudaranya, yang dikatakan tinggal di Kampung Datuk Keramat, KL. Dia memang ada alamat rumah emak saudaranya itu yang dicatitnya pada sehelai kertas. Kami meminta teksi dari Kuale tadi supaya terus sahaja menghantar kami ke alamat seperti yang tercatit pada helaian kertas yang dilipat dan disimpan elok oleh Din.
Sesudah bertanya beberapa kali kepada beberapa orang di Kampung Datuk Keramat itu (akhirnya kami tahu warga KL tidak menyebut Kampung Datuk Keramat, tetapi 'Kramat' sahaja bagi nama penempatan ini); pemandu teksi tadi berjaya menghantar dan menurunkan kami betul-betul di depan pintu pagar yang berkunci, rumah sebagaimana dalam alamat yang dibawa oleh Din. Bukan sahaja pintu pagar berkunci, tetapi pintu rumah pun bertutup tetapi dari kaca nako tingkap rumah itu jelas lampu rumah itu terang menyala. Logiknya, ada oranglah di dalam rumah tersebut.
Berkali-kali mungkin berbelas kali anak kampung ini bertalu-talu memberi salam, namun tiada jawapan dari isi rumah. Ada orang yang lalu lalang berdekatan kami juga tidak memberi apa-apa perhatian terhadap kami yang dah naik serak suara memberi salam, tetapi tiada jawapan. Ketiadaan jawapan bererti kami akan ketiadaan tempat tidur malam itu. Ah, pening. Akhirnya aku dan Din beredar dari depan rumah itu dan mula menapak menyusuri lorong kiri dan loron kanan Kramat entah ke mana hendak dituju.
Sewaktu sedang menapak itu, kami menyusuri tepi sebuah kereta yang diparkir di tepi sebatang jalan berhadapan dengan sebuah kedai runcit. Aku nampak ada purse atau beg duit kelihatan terdampar atas jalan berhampiran kereta itu. Mungkin milik si empunya kereta. Di kedai runcit sana kelihatan seorang wanita berkeadaan tercari-cari sesuatu. Mungkin itu pemilik beg duit yang nampak 'berisi' dan masih berada di atas jalan.
Kata Din; ambil beg duit itu dan berikan kepada wanita yang nampak gubra itu. Kami anak kampung yang prihatin dan sentiasa mahu tolong orang; maka aku pun bersetuju dengan saranan Din lalu mencapai beg yang tercicir itu lantas memberikannya kepada wanita yang sudah nampak wajah pucat serta gelabah itu. Dengan pantas dia merampas beg duitnya apakala aku mengunjukkan kepadanya, dan wajahnya yang pucat bersalut gelabah tadi tiba-tiba berubah menjadi bengis. Aku pula menjadi seperti kerisauan dan gentar. Usahkan terima kasih, senyuman pun tidak diukir oleh wanita tadi.
KL, aku dan Din sudah mendapat pelajaran pertama.
Kami membuat satu kesimpulan dari episod nak tunjuk baik tadi; bahawa di KL ini janganlah kau nak tunjuk baik, nak jadi gentlemen. Nobody will appriciate you. Sesekali kami merungut sesama sendiri, ah alangkah baiknya kalau kita libas sahaja beg duit orang sombong itu tadi.
Namun jauh di sudut hati, kami bangga juga kerana sudah 'menyelesaikan' masalah wanita yang nampak menggelabah kerana kehilangan beg duitnya. BERSAMBUNG....

0 ulasan:

Post a Comment