BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Click here for Myspace Layouts

Saturday, June 12, 2010

Oh Piala Dunia

Apakala malam ini Kore Selatan berjaya menumpaskan Greece, yang pernah menjadi sekali menjadi Juara Piala Eropah pada 2004; 2 -0, maka sebagai orang Asia, saya amat berbangga sekali dengan pencapaian negara yang terkenal dengan semangat Hwarang itu. Untuk menang kesebelasan pemain kena mempunyai satu halatuju yang sama dan pemain-pemain Kore Selatan telah mempamerkan kesatuan objektif perjuangan mereka.

Menang pertandingan pertama dalam Piala Dunia begini, sesungguhnya memberi impak besar kepada imej dan maruah sesuatu negara yang bertanding. Sudah tentu kejayaan yang digarap oleh Korea Selatan pada permainan senja tadi, akan membuatkan seluruh peminat mereka di Korea Selatan sukar untuk tidur malam ini; kerana meraikan kemenangan bersejarah ini. Dua jaringan dari Lee Jong Soo pada seawal minit ketujuh dan jaringan menarik dari pemain Manchester United, Park Ji Sung pada minit ke 52 telah mengesahkan bahawa kehadiran Korea Selatan ke Afrika Selatan pada tahun 2010 ini bukanlah sekadar untuk berada di Tanjung Pengharapan semata-mata. Mereka pasti boleh melangkah lebih jauh walau pun Agentina dan Nigeria tetap menanti mereka di kiri dan kanan persimpangan perjalanan itu nanti.

Apakah natijah yang perlu kita, maksudnya Malaysia; ambil dari kejayaan Korea Selatan ini. Kita dan Korea Selatan tiada bezanya, sama-sama orang Asia. Sekadar mengutip kembali nostalgia lama, perlu disebutkan lagi dan lagi bahawa kita biasa menumpaskan Korea Selatan dalam perlawanan bolasepak ini. Sudah tentulah perlawanan yang paling dikenangi ialah ketika kita berjaya menewaskan Korea Selatan bagi kelayakan ke Sukan Olimpik.

Mengapa lain hulu, lain parang. Kenapa dahulu boleh, sekarang berdalih-dalih. Apakah para pemain yang ada kini tidak sehebat Hasan Sani, James Wong, Santokh Singh, Soh Chin Aun dan lain-lain lagi itu. Kita percaya elaun dan gaji yang diperolehi oleh para pemain sekarang ini adalah jauh lebih besar, jauh lebih banyak dari apa yang pernah diterima oleh Chin Aun dan Hasan Sani dahulu semasa mereka memang menjadi 'star' bolasepak negara.

Atau apakah wang yang banyak, elaun yang tinggi membuatkan para pemain sekarang menjadi cepat keletihan. Apakah kemewahan telah membuatkan tumpuan mereka terhadap mempertingkatkan martabat bolasepak negara menjadi meleset. Para peminat bolasepak di negara ini memang menjadi teramat-amat hairan dan tidak faham; mengapa mutu bolasepak negara menjadi rendah amat.

Kalau hal-hal berkaitan kemewahan menjadi batu penghalang kepada kemajuan sukan nombor satu ini; kita bandingkan tahap pencapaian para pemain profesional luar negara. Mereka itu, seperti yang kita lihat membarisi pasokan ternama MU, Chelsea, Real Madrid dan puluhan lagi; memang tersohor kekayaan mereka kerana menjadi pemain bolasepak, tetapi mutu permainan mereka tetap hebat dan tak terbandingkan. Mewah, tetapi tetap memerah keringat ketika di padang dan faham apa yang dia wajar lakukan sebagai seorang pemain bolasepak.

Agaknya para pemain bolasepak di negara ini, wajar diberikan kefahaman bagaimana mengurus kemewahan, kekayaan dan mudah-fulus ini dan pada ketika yang sama unggul sebagai seorang pemain bolasepak negara yang disenangi, yang boleh diletakkan harapan untuk menjulang martabat dan maruah bolasepak Malaysia. Sesungguhnya, semua rakyat negara ini menyimpan hasrat untuk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang ketika kesebelasan Malaysia melangkah gagah ke dalam stadium dalam pertandingan Piala Dunia. Tetapi, itu tahun bila?

0 ulasan:

Post a Comment