BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Click here for Myspace Layouts

Tuesday, June 8, 2010

Ayam berkokok atas batang

Apakah benda yang bila dah naik, tak turun-turun? Mudah sahaja jawapannya; iaitu Barang Naik. Ramai orang yang suka melawak mengatakan bahawa yang ditakrif sebagai 'barang naik' itu ialah BN. Memang betul pun, BN belum pernah jatuh tetapi biasa tertiarap dan agaknya 'misai pun tak kena tanah'. Semoga BN bertambah kuat dan disukai ramai dan dalam pilihanraya umum akan datang; dia akan kekal naik terkeatas menerajui negara sebagaimana lumrah.

Namun tulisan kali ini bukannya hendak bercakap pasal politik, apatah lagi tentang BN. Apa yang cuba hendak disentuh ialah tentang harga rokok yang naik, naik, naik dan terus naik. Harga rokok yang dibayar oleh para pembeli kini adalah lebih 800% tinggi daripada harga rokok yang pernah mereka bayar pada kira-kira 15 tahun dahulu. Jika satu masa dahulu rokok dari jenama Dunhill, Benson and Hedges, Rothmans, Peter Stuyvesant, Lucky Strike, Marlboro dan berbagai lagi boleh dianggap rokok biasaan yang dihisap oleh ramai orang; kini rokok-rokok ini sudah sedikit sangat 'lakunya' disebabkan harganya telah mahal dan diluar kemampuan pembeli.

Bayangkan sekotak rokok berharga RM9.40. Membeli dengan wang RM10.00, hanya berbaki enam puluh sen sahaja. Semuanya mengeluh; huh..... Akhirnya ramai perokok berubah selera dengan membeli atau menghisap rokok jenama murah berharga sekitar RM2.40 sebungkus. Atau mencari rokok seludup yang mungkin lebih murah. Beli tetap beli, hisap tetap hisap. Penagih rokok tegarrr.

Pada ketika sahabat-sahabat yang perokok mengalami suasana getir akibat kenaikan harga rokok yang berterusan, penulis berasa lega kerana sama sekali tidak lagi terlibat bagi merasai kegetiran ini. Sebabnya, penulis bukan perokok kini dan insyaAllah selamanya. Dahulu, memang betul; saya pernah menjadi perokok. Saya sudah berhenti, bukan setakat berhenti membeli rokok tetapi berhenti menghisap rokok, berhenti dari duduk berhampiran si perokok dan mudah menjadi anti-asap rokok.

Ini cerita atau kisah bagaimana saya berhenti merokok. Dahulu, sejak dari Tingkatan 5 sudah mula 'mencuri-curi' menghisap rokok. Ramai rakan sebaya yang merokok, cikgu-cikgu pun kadang-kadang menghisap rokok dengan selamba dan bersahaja dalam kelas, tanpa rasa bersalah pun. Dan ironisnya, cikgu pun kadang-kadang boleh offer rokok sebatang kepada saya selaku anak muridnya; tetapi bukanlah untuk disiap dalam kelas, sebaliknya pandai-pandai engkaulah mencari port yang line clear. Ini berlaku sekitar 1974.

Bila sudah berkerja, lagi lahsyat la. Ada duit, you can do it. Rokok dah boleh beli sendiri. Masa itu harga rokok murah. Tujuh batang baru 35 sen harganya. Itu kalau kotak kecil, kotak besar berisi 20 batang baru berharga sekitar RM1.60. Memang mampu milik. Pernah regular hisap rokok jenama Dunhill, kemudian bertukar kepada Benson and Hedges. Kedua-dua jenama ini sama harganya dan sama akibahnya.

Namun harga rokok mulai naik. Dari setahun ke setahun harganya meningkat. Harga akan menjulang pada sekitar 25% hingga 45%. Bila waktunya harga rokok melonjak? Sesudah Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan Negara setiap hari Jumaat minggu terakhir Oktober di Parlimen. Tengok, besoknya on the spot harga rokok naik; tak tunggu-tunggu lagi.
Orang-orang yang merokok, merungut-rangat jugalah; tetapi bila ketagih datang, rokok tetap dibeli. Sehari dua hari terasa benar margin perbezaan antara harga lama dengan harga baru itu; tetapi masuk seminggu, dua minggu ianya sudah tidak menjadi halangan lagi. It no hal; berkembut tetap berkembut.

Saya berhenti merokok apakala sudah mendirikan rumah tangga. Isteri mengandung anak pertama. Tak sesuai dan tak wajar kita dok menghembuskan asap rokok yang fully beracun itu kepada isteri yang mengandung dan anak yang dikandung. Namun bukan itu faktor utama saya berhenti merokok, tetapi faktornya ialah Daim Zainuddin. Encik Daim Zainuddin (sekarang Tun) yang pada waktu itu adalah Menteri Kewangan; ketika membentangkan belanjawan negara pada 1987 mengumumkan kenaikan harga rokok yang agak drastik. Saya yang ikut menonton siaran langsung pembentangan Belanjawan itu di TV terus membuat satu pendirian; aku akan berhenti merokok hari ini juga! Ketika itu, tindakan merampus untuk berhenti merokok itu bukanlah disebabkan kenaikan harganya, tetapi disebabkan radang kepada langkah Menteri yang mencadangkan harga lebih tinggi ke atas rokok.

Memang, bukan senang hendak berhenti secara mendadak begitu. Kereta yang sedang laju pun, jika kita berhentikan (brek) secara mengejut; boleh terbalik weh. Demikianlah saya, pening lalat dibuatnya bila rutin hidup tanpa merokok mula dipraktikkan. Bayangkan kekosongan semasa lepas makan, sedang buang air besar, sewaktu menulis (typing) atau sewaktu air liur meleleh sebab ketagih. Hampir sepuluh hari menanggung redat, mata berpinar badan semacam penat. Inilah hari-hari ujian. Inilah detik-detik penentuan.

Beberapa sahabat yang memang perokok tegar bagaikan mempersenda langkah yang saya sedang ambil. "Hisap baliklah", saran mereka. "Aku nak tengok, berapa hari kamu boleh tahan tak merokok", cabar pula yang lain. Tidak kurang juga kengkawan yang jenis suka melawak tak bertempat; menghembuskan asap rokok yang mereka hisap ke arah saya, dengan niat untuk merangsang semula ketagihan saya terhadap rokok.

AlhamduliiLlah; saya lulus kesemua ujian-ujian getir ini. Isteri ada sahamnya dalam memberikan sokongan kepada saya untuk berhenti merokok ini. Penulis mapan, Mana Sikana yang saya temui dalam satu program anjoran LEPAS Perak juga menyatakan bahawa tanpa merokok pun seseorang itu boleh menghasilkan tulisan yang baik. Dan akhirnya, saya akur dan berterima kasih kepada Tun Daim kerana pembentangan belanjawannyalah; saya sehingga kini kekal berhenti merokok dan tidak membelanjakan waimma satu sen pun wang untuk membeli rokok. Oh, seronoknya.

Azam yang kuat ada dalam diri setiap daripada kita. Soalnya hati. Apakah kita mahu? Maka, jika kita mahu ataupun hendak, ada seribu daya tetapi jika kita enggan, maka ada juga seribu dalih.

"Ayam berkokok atas batang,
Hisap rokok, penyakit datang".


0 ulasan:

Post a Comment