Kami berkumpul di Cool Point Hotel CH bagi membincangkan isu-isu baru CA. Ianya bukan sebarangan perbincangan yang boleh diambil mudah, tetapi memerlukan satu proses pencanaian minda secara bersungguhan. Fasal demi Fasal diteliti; bab demi bab diperhalusi. Semuanya adalah untuk kepentingan seluruh ahli; bukan untuk kepentingan peribadi.
Antara Fasal yang begitu diteliti ialah Fasal 33.5 tentang waktu berkerja pada tengahari hari Jumaat. Ada cadangan supaya ditutup sahaja perniagaan kaunter pada waktu tengahari hari Jumaat; sejajar dengan tuntutan Al Quraan. Wahai orang-orang yang beriman. apakala diseru kamu untuk mendirikan solat Jumaat maka hendaklah kamu menyegerakannya. Tutuplah perniagaan kamu; dan apakala selesai sahaja menunaikan solat, bertebaranlah kamu di muka bumi semula untuk (menyambung) mencari rezeki yang halal.
Isu ini diperdebatkan dengan serius. Antara tuntutan untung rugi Syarikat, social obligation, kisah Ahli Parlimen membawa isu ini dalam Sidang Dewan Rakyat pada masa lampau, konsep kerja kerana Allah dan komitmen kakitangan kaunter pada setiap tengahari Jumaat itu; dibincangkan dengan bersungguh-sungguh.
Boleh dikatakan hampir seluruh anggota Exco serta anggota Task Force CA telah membahaskan isu ini dengan mengambil kira setiap aspek. Ini bukan isu kecil. Ada yang menggunakan Bank Rakyat sebagai nas teladan berkaitan usaha menutup kaunter ini. Ada yang memaparkan kronologi kes rompakan di kaunter pejabat pos yang terjadi sewaktu tengahari Jumaat. Ada juga yang memperlekeh sikap kakitangan yang mungkin tidak pergi bersolat Jumaat, sebaliknya membuat aktiviti lain. Ada juga yang mempersoal; kenapa hanya pada tengahari Jumaat sahaja dipertikai kemampuan kakitangan wanita ditinggalkan bersendirian di kaunter; walhal pada hari-hari yang lain juga mereka acapkali juga ditinggalkan bersendirian dikaunter...
Dalam keseriusan berbincang dan berbahas begitu; ada seorang peserta dari Task Force CA yang telah meninggalkan dewan perbincangan, mungkin ke tandas bagi membuang air kecil. Kes ke tandas agak kerap ini memang dialami oleh setiap orang; disebabkan faktor cuaca Cameron yang dingin ala-ala Eropah itu.
Salah seorang peserta Task Force CA yang lain, Haji Othman Pendekar dari Melaka telah ikut membahaskan isu ini dengan lantang dan meminta setiap seorang peserta perbincangan ini sewajarnya memberikan penumpuan atau fokus yang optima dalam isu penutupan kaunter pejabat pos bagi membolehkan kakitangan lelaki untuk bersembahyang Jumaat. Tiba-tiba sewaktu sedang menghujah begitu, dia telah ternampak satu bangku kosong yang memberikan maksud ada seseorang telah keluar dari bilik perbincangan ini.
"Semua orang kena fokus, tak boleh meninggalkan perbincangan ini dengan sewenang-wenangnya. Abang Man, mana pergi Ghalim?", soal Haji Othman keras kepada saya yang kebetulan duduk bersebelahan kerusi yang kosong itu.
"Dia pergi sembahyang Jumaat!!".
Seluruh dewan menjadi gamat dengan gelak ketawa setiap peserta.
0 ulasan:
Post a Comment